Monday, January 24, 2011

Anugerah Belia Cemerlang Malaysia (TOYM) 2011



Putrajaya, 17 Jan 2011 – Pada sidang media Anugerah TOYM (JCI Ten Outstanding Young Malaysian) 2011 di Menara KBS, Putrajaya, belia diberikan galakan agar sentiasa berusaha gigih dalam bidang kerjaya serta menyumbang bakti dan khidmat kepada masyarakat.
Maka sebab itu satu Anugerah Belia Cemerlang Malaysia (TOYM) telah diwujudkan oleh JCI (Junior Chamber International) Malaysia, sejak tahun 1985 dan dikelolakan oleh JCIKLM (Junior Chamber International Kuala Lumpur Manadarin) sebagai penganjur TOYM sepuluh tahun berturut-turut serta akan diteruskan lagi pada 30 Julai 2011.
Sejak diperkenalkan anugerah paling tua di Malaysia ini, seramai 150 orang telah dinobatkan sebagai pemenang yang diadili oleh pengadil yang terdiri daripada personaliti yang ternama dan disanjung tinggi oleh masyarakat kita.
Tahun ini (2011), seramai 10 orang akan disenarai pendek untuk dianugerahkan dengan gelaran Belia Cemerlang Malaysia mulai pertengahan bulan April 2011.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Gan Peng Sieu dalam sidang media berhubung penganjuran majlis ini di Putrajaya semalam (17/01/2011) menyatakan bahawa “Projek tahunan ini merupakan pengiktirafan yang mustahak kepada belia-belia kita, khasnya kepada belia yang aktif dalam bidang masing-masing.”
Pemenang-pemenang anugerah akan mewakili Malaysia untuk bersaing dengan pemenenang-pemenang anugerah belia cemerlang lain yang berasal dari hampir 100 buah Negara dari seluruh dunia, demi memenangi Anugerah tertinggi TOYP (The Outstanding Young Person) Dunia ini.
Tambah YB Gan lagi, pemenang-pemenang anugerah sebelum ini telah menunjukkan kesan yang positif terhadap pencapaian kerjaya mereka yang lebih baik dan terbukti apabila tujuh pemenang Anugerah TOYM telah memenangi Anugerah TOYP yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Pencalonan Anugerah TOYM 2011 ini adalah terbuka kepada semua belia pelbagai kaum yang berusia 18-40 tahun dan terdapat 10 kategori yang diketengahkan pihak penganjur sebagai syarat pencalonan anugerah TOYM. Borang pencalonan boleh dimuat-turun dari laman web rasmi TOYM di www.toym.com.my.

No comments:

Post a Comment